Wednesday, 4 April 2012

PERMOHONAN DAN PELAKSANAAN WARAN TANGKAP KES MAL DI LUAR BIDANG KUASA

Nama dan pemakaian

1.         (1)       Garis Panduan ini bolehlah dinamakan Garis Panduan Permohonan dan Pelaksanaan Waran Tangkap Kes Mal di luar bidang kuasa.

            (2)       Garis Panduan ini hendaklah terpakai bagi apa-apa Permohonan dan pelaksanaan waran tangkap Kes Mal di luar bidang kuasa, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Tatacara Mal Dan Jenayah Syariah yang berkuat kuasa di negeri-negeri. 

Tatacara pelaksanaan waran tangkap Kes Mal di luar bidangkuasa

2.         (1)       Apabila menerima Perintah Mahkamah yang dikeluarkan dengan menggunakan Borang 3, Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah memastikan―
(a)       waran tangkap telah diendors oleh Mahkamah yang berbidang kuasa dengan perkataan ”Saman/Waran/Perintah Kes Mal Bil...........Tahun........ yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah/Tinggi/Rayuan Syariah Negeri ........(Negeri Pengeluar).... hendaklah disampaikan/dilaksanakan dalam Negeri........(Negeri Penerima).......” dan mematuhi peruntukan tindakan bersaling;
(b)       waran tangkap diendorskan dengan jaminan dan penjamin atau penjamin-penjamin (jika ada); dan
(c)       tarikh perbicaraan tidak terlalu hampir, sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh perbicaraan. Walau bagaimanapun, jika tarikh perbicaraan yang ditetapkan kurang dari tempoh 14 hari, laporan waran tersebut hendaklah dihantar kepada Mahkamah yang mengeluarkannya.
(2)      Jika Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan menerima waran tangkap tanpa pengendorsan perintah bersaling, Pegawai itu hendaklah menghantar waran tangkap tersebut ke Mahkamah yang berbidangkuasa, di mana orang yang terhadapnya waran tangkap dikeluarkan berada atau dipercayai berada bagi mendapatkan pengendorsan perintah bersaling. Bagi tujuan ini, Arahan Amalan No. 10 Tahun 2005 – Pengendorsan Perintah Bersaling yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia adalah terpakai.  
(3)       Sekiranya waran tangkap tidak ada tandatangan pengesahan atau tidak diendorskan dengan amaun jaminan, Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah menganggap waran tersebut adalah sempurna dan waran tangkap tersebut dilaksanakan sebagai tanpa jaminan.
(4)       Semasa melaksanakan waran tangkap, Pegawai yang melaksanakan waran itu hendaklah mengemukakan waran atau salinannya (jika dikehendaki) dan memberitahu isi kandungan waran tersebut.

Waran tangkap yang diendors dengan jaminan

3.         (1)       Jika waran tangkap diendors dengan jaminan, Pegawai yang melaksanakan waran tangkap tersebut hendaklah tanpa kelengahan membawa orang yang ditangkap dengan waran ke Mahkamah yang terdekat berserta dengan Borang Laporan Waran Tangkap.
(2)                          Pegawai tersebut hendaklah memastikan perkara-perkara yang berikut:

  1. jika orang yang ditangkap tidak bersedia atau tidak sanggup memberikan jaminan, orang itu hendaklah dipindahkan ke Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu dengan segera; 

  1. Jika perkara di bawah subperenggan (a) tidak dapat dilaksanakan, Pegawai tersebut hendaklah mendapatkan waran penahanan dari Mahkamah untuk menahan orang itu di penjara/lokap polis.

  1. jika orang yang ditangkap itu bersedia dan sanggup memberikan jaminan yang memuaskan hati Mahkamah, orang itu hendaklah dilepaskan dengan bon atau jaminan. Mahkamah yang mengambil bon atau jaminan tersebut hendaklah mengemukakan bon atau jaminan itu ke Mahkamah yang  mengeluarkan waran itu.

            (3)       Walau apapun perenggan 4(2)(c), Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan boleh mengambil bon atau jaminan jika sesuatu waran diendorskan dengan amaun jaminan dan selepas itu Pegawai tersebut hendaklah mengemukakan bon atau jaminan itu ke Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu.   

Tatacara waran tangkap yang tidak dapat dilaksanakan

4.               Sekiranya waran tangkap tidak dapat dilaksanakan, Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah mengisi Borang Laporan Waran Tangkap dengan menyatakan alasan-alasan waran tersebut tidak dapat dilaksanakan dan mengemukakannya kepada Mahkamah yang mengeluarkan waran berkenaan.

Tempoh kuat kuasa waran tangkap

5.         Tiap-tiap waran tangkap hendaklah berkuat kuasa sehingga ia dibatalkan oleh Mahkamah yang mengeluarkannya atau sehingga ia dilaksanakan.


Rujukan muktamad

6.         Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan atau tidak dinyatakan dengan jelas dalam Garis Panduan ini, Pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah merujuk kepada Akta/Enakmen/Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang berkuat kuasa di negeri-negeri.
Cth: 


Staff MRSSI 2012

Staff MRSSI 2012