Jawatankuasa Sekretariat Gerakan Sokong Syariah (Gesa) dan Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut supaya Parlimen
menyemak semula Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 (Disemak - 1988). Akta ini yang terpakai hanya bagi semua
Negeri di Semenanjung Malaysia membantutkan bidangkuasa Mahkamah
Syariah. Malah ia bertaraf jauh lebih rendah dari undang-undang sivil.
Mengikut bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang sedia ada, di
bawah undang-undang negeri, undang-undang tersebut hanya terpakai ke
atas orang-orang yang menganuti agama Islam.
Akan tetapi ia terikat dengan syarat tidak boleh dihukum penjara
selama tempoh melebihi tiga tahun atau, denda melebihi lima ribu ringgit
atau, sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman
tersebut.
Bukan sahaja status ini menempatkan Mahkamah Syariah masih berada di
tahap lebih rendah dari Mahkamah Sivil, malah akta yang wujud itu
sendiri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana
menurut Senarai 11 dalam jadual sembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa
agama adalah terletak dalam bidang kuasa negeri. Jadi bagaimana sebuah
akta diujudkan yang boleh menjejaskan kuasa negeri.
Jika Malaysia hendak memajukan status syariah di negara ini maka ia
tidak boleh membiarkan undang-undang syariah terikat dan statik seperti
yang berlaku sekarang.
Sesungguhnya perkembangan zaman dan keadaan semasa menuntut supaya Akta yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diubah.
Secara bandingan, soal binatang sahaja terdapat 6 buah akta. Kadar
denda di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi kesalahan mendera
haiwan telah diperketatkan.
Ternyata ada inisiatif untuk menaikkan hukuman kepada pendera
binatang kepada cadangan denda yang lebih tinggi menunjukkan betapa
rendahnya undang-undang syariah di negara ini bila undang-undang syariah
hanya boleh mendenda maksima RM5,000 sahaja.
Gesa dan Mapim tidak boleh menerima samasekali kedudukan ini
sedangkan Mahkamah Syariah sudah melalui pelbagai penambahbaikan dari
segi prasaran dan pengurusan.
Persepsi dan hormat masyarakat terhadap undang-undang syariah
ternyata sangat rendah kerana keadaan tersebut. Apatah lagi untuk
menjadikan undang-undang syariah dihormati dalam masyarakat, ia jelas
tidak akan mampu menjadi undang-undang yang mengekang (deterant) selagi
kuasa menghukum oleh Mahkamah Syariah sangat terbatas.
Tidak mengejutkan jika pelbagai jenayah yang serius pada pandangan
Islam seperti khalwat, kesalahan zina, bersekedudukan, musahaqah
(lesbian), liwat, murtad, perbuatan membuang bayi, hamil luar nikah dan
masalah tukar agama merupakan gejala sosial masa kini yang berleluasa.
Undang-undang syariah yang sepatutnya mempunyai keupayaan menyekat
jenayah-jenayah tersebut dengan jauh lebih berkesan dari undang-undang
sivil ternyata tidak mampu memberi bekas sewajarnya jika statusnya
berada dalam keadaan yang sedia ada.
Gesa dan Mapim mendapati pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang
terakhir dilakukan pada tahun 1988 iaitu 24 tahun yang lalu. Ini sudah
tentu tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Malah jika syariah ingin
dijadikan sistem yang unggul dan boleh menawarkan penyelesaian yang
terbaik kepada kemelut sosio-ekonomi dan politik umat masakini, Gesa
menuntut supaya Akta Mahkamah Syariah dimansuhkan.
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Pengerusi Gesa dan Setiausaha Agung Mapim.
No comments:
Post a Comment